Nama sebenar “RAJA BERSIONG” ialah Raja Ong Maha Perita Deria iaitu raja keempat keturunan Merong Mahawangsa yang memerintah Negeri Kedah sebelum bertapaknya Agama Islam di negeri ini. Menurut cerita orang-orang tua di Daerah Baling, pada zaman dahulu, kononnya Raja Bersiong telah melarikan diri daripada istana apabila berlakunya pemberontakan rakyat akibat kezaliman pemerintahan baginda (baginda gemar memakan hati dan darah manusia. “Apabila rakyat memberontak, mereka lari ke ‘Kota Aur di Gubir’ dan bina kubu disana. Di dalam pelariannya, baginda terpaksa berhenti di beberapa tempat kerana baginda sakit gigi atau siongnya. Oleh kerana baginda tidak tertahan lagi menahan sakit, baginda telah mengambil keputusan untuk mencabut atau membuang siong yang tumbuh di mulutnya. Perbuatan baginda memegang beberapa kali dan memulasnya telah mengambil masa yang agak lama melibatkan beberapa tempat persinggahan.Akhirnya setelah perjalanan baginda semakin jauh, usaha mencabut siongnya itu pon berjaya. Baginda pun memegang siong yang telah dicabutnya itu dan membalingnya dengan sekuat hati dan Siong itu jatuh ke dalam bendang . Selepas membaling siongnya itu, baginda pun merasa amat lega kerana tidak lagi merasai kesakitan. Mengambil sempena peristiwa baginda membaling siong itu, maka lahirlah perkataan BALING dan juga perkataan SIONG.Masyarakat di Daerah Baling terutamanya telah mewarisi cerita lisan mengenai Kisah Bersiong ini turun temurun sehinggalah sekarang. Jika ke Kampung Lalang, akan melalui satu mercu tanda seakan-akan pintu gerbang berbentuk sepasang siong yang tumbuh menegak. Mercu tanda berdiri tegak di kiri dan kanan jalan sebenarnya dibina sebagai tanda ingatan kepada “Peristiwa Raja Bersiong”
Sumber : Perpustakaan Desa Kampung Pokok Setol
- << Seterusnya
- Seterusnya