Belia merupakan golongan yang menggambarkan survival negara pada masa akan datang. Oleh itu, para belia perlu mempersiapkan diri dengan memantapkan minda dan fizikal bagi menghadapi cabaran masa depan serta meneruskan agenda negara. Para belia Daerah Baling dan Mukim Siong ini terlibat dalam beberapa persatuan seperti Belia 4 Bersatu (Belia 4B), Rakan Muda (Kementerian Belia dan Sukan), Rukun Tetangga, Rakan Masjid dan juga menganggotai Pasukan RELA.Antara kegiatan yang dianjurkan oleh Rakan Muda dan Belia 4B seperti pertandingan bola sepak, bola jaring, bola keranjang, futsal, sepak takraw, sepak tuju, tenis, badminton dan ping pong bagi sukan gelanggang. Manakala sukan lasak dan luarseperti jungle trekking, rock climbing, wall climbing, skate park dan bouldering. Sukan Seni mempertahankan diri turut diadakan bagi belia yang berminat seperti Seni Silat Gayung atau Cekak Hanafi, taekwando dan sukan tomoi. Sukan ini diadakan untuk sekitar Daerah Baling dan kawasan setempat. Hal ini sekali gus mengeratkan silaturrahim antara penduduk-penduduk di kawasan sekitar.

 

Rakan Masjid pula bertujuan memantapkan lagi kefahaman agama Islam para belia di sekitar kampung serta penjagaan kawasan perkuburan Islam agar terpelihara. Bagi belia yang melibatkan diri dalam Rukun Tetangga pula bertanggungjawab dalam memelihara kawasan kampung daripada dicerobohi oleh anasir-anasir yang tidak diingini. Manakala Pasukan RELA pula diamanahkan untuk membantu pasukan Polis dalam mencegah jenayah yang terdapat sekitar kampung.Terdapat juga beberapa bengkel atau kursus yang dianjurkan untuk para belia memahirkan diri dalam bidang-bidang tertentu. Antara bengkel yang pernah dianjurkan seperti bengkel keusahawanan, memasak dan juga menjahit. Bengkel ini memberi panduan asas kepada para belia yang berminat dalam bidang perniagaan dan sebagainya.Ada juga segelintir golongan belia yang melibatkan diri dalam perniagaan kecil-kecilan seperti membuka bengkel motosikal, kedai makan dan sebagainya. Selain mengisi masa yang terluang, aktiviti ini turut menyumbang kepada ekonomi para belia di sini. Ada juga dalam kalangan belia yang bekerja di pejabat-pejabat kerajaan seperti Pejabat Daerah dan    Tanah, Majlis Daerah, Pejabat Kemas Daerah, Klinik Desa dan sebagainya. Mereka juga bekerja di bangunan perniagaan di sekitar Pekan Baling seperti kedai makan, kedai pakaian, kedai telefon, kedai buku dan juga kedai perabot

 

.Sumber: Temuramah Belia 4B Mukim Siong